
Jalur lebar menawarkan kebolehan dua hala dan ia berkeupayaan menerima serta menghantar data pada kelajuan yang tinggi. Akses jalur lebar, berserta kandungan dan perkhidmatannya akan membawa perubahan kepada Internet, sama ada dari segi apa yang mampu ditawarkannya mahupun cara penggunaannya. Medium transmisi atau teknologi yang pelbagai yang boleh digunakan bagi akses jalur lebar termasuklah kabel, perkhidmatan telefon yang dipertingkatkan yang dikenali sebagai talian pelanggan digital (DSL), satelit, wayarles tetap dan banyak lagi. Jalur lebar bermakna akses kepada Internet yang berkelajuan tinggi, tidak kira walau di mana hinggalah kepada hampir kesemua kandungan digital.
Sehubungan itu, Bicara Eksekutif ini diadakan untuk memberikan kesedaran kepada gerakan koperasi mengenai kewujudan Teknologi Jalur Lebar. Penggunaan teknologi ini dapat membantu meningkatkan daya saing koperasi di mana infrastruktur koperasi yang maju dapat menjana kadar pertumbuhan produktiviti dan aktiviti koperasi berasaskan rangkaian yang berkeupayaan tinggi. Di samping itu, dengan adanya teknologi ini, gerakan koperasi akan dapat meningkatkan komunikasi di antara koperasi bandar dan luar bandar yang memperkayakan komuniti dan menggalakkan integrasi. Seterusnya, koperasi dapat menggunakannya sebagai satu alat (tools) untuk membolehkan koperasi membuka ruang dan peluang baru dalam menempuh cabaran dan persaingan global tanpa sempadan.


